Kita Geng Okeh!

March 23, 2014

SUNNAH NABI BERCINCIN...


LOGAM YANG DIBENARKAN UNTUK MEMBUAT CINCIN


EMAS

  1. Para ulama bersepakat mengatakan bahawa emas dibenarkan kepada wanita untuk memakainya, manakala bagi lelaki ianya adalah haram.
  2. Manakala untuk kanak-kanak yang belum baligh, para ulama Syafieyah di dalam pandangan muktamad di dalam mazhab berpendapat bahawa dibenarkan bagi mereka untuk memakai emas samaada kanak-kanak lelaki atau perempuan.

 PERAK

  1. Para ulama bersepakat mengatakan bahawa cincin perak dibenarkan kepada wanita. Manakala bagi lelaki pula terdapat perincian oleh para ulama .
  2. Para ulama Hanafiyah mengatakan bahawa harus bagi lelaki memakai cincin perak. Ianya menjadi sunnah kepada para sultan, para qadhi dan yang seumpama dengannya. Manakala kepada selain sultan, qadhi dan yang seumpama dengannya terlebih afdhal bagi mereka tidak memakai cincin perak.
  3. Para ulama Malikiyah pula berpandangan bahawa memakai cincin perak bagi lelaki adalah harus dan jika dipakai dengan tujuan mengikut sunnah Baginda sallallahu alaihi wasallam hukumnya adalah sunnah dan haram memakainya dengan tujuan berbangga diri.
  4. Para ulama Syafieyah pula berpandangan bahawa disunatkan kepada sesiapa sahaja untuk memakai cincin perak bukan dikhususkan kepada sultan dan qadhi semata-mata.
  5. Para ulama Hanabilah berpandangan bahawa memakai cincin perak bagi lelaki adalah harus.


SELAIN DARIPADA EMAS & PERAK

  1. Para ulama Malikiyah ( dalam pandangan yang muktamad ) dan ulama Hanabilah berpandangan bahawa memakai cincin daripada besi, tembaga dan seumpama dengannya adalah makruh berdasarkan larangan Baginda sallallahu alaihi wasallam di dalam hadis. Hukuman ini merangkumi lelaki dan  wanita.
  2. Para ulama Malikiyah berpandangan bahawa mengambil cincin daripada kayu, kulit dan batu adalah harus bagi lelaki dan wanita. Manakala para ulama Hanabilah pula berpandangan diharuskan bagi lelaki dan wanita memakai cincin daripada zamrud, yaqut, jed dan lain-lain jenis batu.
  3. Para ulama Syafieyah pula mempunyai dua pandangan di dalam permasalahan ini. Sebahagian mengatakan bahawa hukumnya makruh memakai cincin selain emas dan perak. Manakala sebahagian lagi mengatakan tidak makruh. Al-Imam Nawawi rahimahullah berpandangan dengan mengatakan tidak makruh memakai cincin daripada selain emas dan perak . al-Imam Qalyubi di dalam Hasyiyahnya juga mengatakan bahawa tiada masalah untuk memakai cincin daripada tembaga , besi dan lain-lain.
  4. Para ulama Hanafiyah pula seperti al-Imam Ibn Abidin rahimahullah mengatakan bahawa dihalalkan bagi lelaki memakai cincin perak dan diharamkan memakai cincin emas, tembaga atau besi. Manakala mengambil cincin daripada batu adalah dibenarkan khususnya batu aqiq.

  
HUKUM BILANGAN CINCIN

  1. Para ulama Malikiyah mengatakan bahawa diharamkan bagi seseorang lelaki memakai lebih daripada satu cincin.
  2. Para ulama Syafieyah pula berpandangan bahawa dibenarkan untuk memakai 2 bentuk cincin perak dalam satu masa. Ini seperti yang disebutkan oleh al-Imam Jalaluddin al-Suyuti rahimahullah. Makruh hukumnya memakai lebih daripada 2 bentuk cincin. Al-Imam Isnawi rahimahullah juga berpandangan sedemikian dan kata al-Imam Khawarizmi di dalam al-Kafi : Makruh memakai kedua-dua cincin tersebut pada satu jari.
  3. Para ulama Hanabilah pula berpandangan bahawa dibenarkan bagi lelaki memakai dua cincin dan lebih selagi mana tidak keluar daripada adat setempat.
  4. Manakala para ulama Hanafiyah tidak pula kedapatan mereka mengeluarkan pandangan di dalam masalah ini.


BENTUK CINCIN RASULULLAH

  1. Cincin Baginda sallallahu alaihi wasallam ada dua jenis. Ada yang diukir perkataan “ Muhammad Rasulullah” dan ada yang diletakkan batu.
  2. Jenis batunya menjadi perbahasan para ulama, sebahagian mengatakan bahawa ianya adalah jenis aqiq dan al-Imam Jalaluddin al-Suyuthi mengatakan bahawa beliau melihat di dalam kitab Mufradat fi  al-Tibb karangan Ibn al-Baithar bahawa jenis batu tersebut adalah zabarjad.


JARI YANG SUNNAH DILETAKKAN CINCIN

  1. Bagi wanita tiada tempat yang khusus diletakkan. Terpulang kepada mereka untuk memakai cincin dimana sahaja anggota. Samada di kesemua jari tangan atau jari kaki sekalipun. Ini kerana itu adalah perhiasan bagi mereka.
  2. Para ulama berbeza pandangan tentang kedudukan jari yang sunnah dipakaikan cincin bagi lelaki. Para ulama Hanafiyah mengatakan bahawa disunnahkan bagi lelaki untuk memakai cincin di jari kelingking sebelah kiri dan bukan pada jari lain walaupun kanan. Sebahagian daripada ulama Hanafiyah mengatakan bahawa diharuskan untuk memakai cincin pada jari kelingking kanan.
  3. Manakala al-Imam Malik radhiyallahu anhu, guru kepada al-Imam al-Syafie radhiyallahu anhu mengatakan bahawa disunnahkan memakai cincin di jari kelingking kiri dan beliau sendiri memakai cincin di jari kelingking kiri. Al-Imam Ibn al-Arabi al-Maliki mengatakan bahawa sunnah memakai cincin pada jari kelingking kiri dan makruh memakainya pada  kelingking kanan.
  4. Para ulama Syafieyah mengatakan bahawa harus untuk dipakai cincin pada jari kelingking kanan atau kiri sekalipun. Tetapi pandangan yang masyhur ialah memakainya pada jari kelingking kanan kerana ianya merupakan tempat untuk berhias. Manakala memakai cincin pada jari manis adalah dibenarkan. Jari tengah, telunjuk dan ibu jari adalah dilarang bagi kaum lelaki untuk meletakkan cincin padanya. Ini kerana terdapat larangan daripada Baginda sallallahu alaihi wasallam kepada Sayyiduna Ali radhiyallahu anhu untuk memakai cincin pada jari-jari tersebut.
  5. Para ulama Hanabilah pula berpandangan bahawa afdhal memakai cincin pada jari kelingking kiri. Mereka juga berpandangan bahawa dibenarkan untuk memakai cincin pada jari manis dan ibu jari. Manakala jari telunjuk dan jari tengah adalah dilarang untuk meletakkan cincin padanya kerana terdapat larangan yang jelas daripada Baginda sallallahu alaihi wasallam.


Sama ada bagi kaum lelaki mahupun wanita, dibolehkan bagi mereka memakai cincin pada jari manis, kelingking ataupun ibu jari. Adapun jari telunjuk dan tengah, keduanya adalah dilarang.

Hal dinyatakan dalam sebuah athar daripada Ali bin Abi Talib radhiyallahu ‘anhu, “Bahawasnya (Rasulullah) melarangku memakai cincin pada jari ini dan ini – seraya mengisyaratkan kepada jari telunjuk dan jari tengah.” (Sahih. Riwayat Al-Nasa’i)


SUNNAH MEMAKAI CINCIN PADA TANGAN KANAN ATAU KIRI

Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam  pernah memakai cincin pada kedua-dua tangannya sebagaimana dalam hadis Anas bin Malik radhiyallahu ‘anhu, “Bahawasanya Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam telah memakai cincin perak pada tangan kanannya di mana kepala cincinnya daripada Habsyah; dan Baginda menjadikan kepala cincinnya pada bahagian dalam telapak tangannya.” ( Bukhari dan Muslim)

Anas bin Malik radhiyallahu ‘anhu turut meriwayatkan, “Bahawasanya Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam memakai cincin pada jari ini – sambil mengisyarat pada jari manis tangan kirinya.” (Muslim)

Berdasarkan kedua-dua riwayat yang sahih ini dapat disimpulkan bahawa sama ada cincin itu diletakkan pada tangan kanan mahupun tangan kiri, kedua-duanya adalah Sunnah kerana ia telah dilakukan oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam. (Al-Syarah Al-Mumti’ oleh Syeikh Ibnu Uthaimin, 6/116)


KEPALA CINCIN DILETAK PADA BAHAGIAN DALAM TELAPAK TANGAN

Sunnahnya adalah mengarahkan kepala cincin ke arah dalam telapak tangan sebagaimana dalam hadis riwayat Anas bin Malik radhiyallahu ‘anhu, “Bahawasanya Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam menjadikan kepala cincinnya pada bahagian dalam telapak tangannya.” (Bukhari dan Muslim)


LARANGAN MEMAKAI CINCIN PERKAHWINAN

Perlu dijelaskan bahawa amalan memakai cincin perkahwinan bukan daripada ajaran Islam. Ia tidak dilakukan oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam, para Sahabat radhiyallahu ‘anhu mahupun generasi awal Islam. Sebaliknya ia adalah adat tradisi yang diwarisi daripada orang Kristian dalam urusan perkahwinan mereka.

Amalan menyarung cincin perkahwinan adalah adat Kristian sejak turun-temurun di mana si pengantin lelaki akan meletakkan cincin pada hujung ibu jari pengantin perempuan lalu berkata: “Dengan nama Bapa”. Setelah itu dia akan memindahkan cincin ke hujung jari telunjuk dan berkata: “Dengan nama Anak”. Selepas itu dia beralih ke jari tengah seraya berkata: “Dengan nama Roh Al-Qudus”. Dan tatkala dia berkata “Amin” dia akan menyarungkan cincin itu pada jari manis pengantin perempuan itu.

Syeikh Albani menukilkan kenyataan Angela Talbot, editor Majalah Women yang berpusat di London dalam keluaran ke-19 pada 19 Mac 1960 di mana ketika menjawab soalan tentang mengapa cincin perkahwinan diletakkan pada jari manis tangan kiri, Angela Talbot berkata: “Dikatakan bahawa terdapat urat saraf yang berhubung secara terus daripada jari tersebut ke jantung.” (Adaab Al-Zafaaf oleh Syeikh Albani, hlm. 212-214)

Syarak melarang keras Umat Islam meniru orang kafir apatah lagi dalam urusan yang bersangkut-paut dengan kepercayaan keagamaan mereka. Perbuatan seperti ini jelas boleh membawa kepada kufur wal iyazubillah. Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam mengecam mereka yang meniru orang kafir dalam sabda Baginda, “Barangsiapa merenyerupai sesebuah kaum maka dia tergolong dalam kaum itu” (Hasan. Riwayat Imam Ahmad dan Abu Daud).

Oleh itu, jelas memakai cincin yang khas buat pertunangan atau perkahwinan adalah haram kerana ia menyerupai amalan orang Kristian. Lebih sulit lagi sekiranya cincin itu dibuat daripada emas. Dalam hal ini dua kesalahan telah dilakukan. Pertama, menyerupai orang kafir. Kedua, memakai cincin emas. Harus diingat, bukan sahaja kaum lelaki tetapi wanita juga turut dilarang daripada memakai cincin emas sebagaimana dalam hadis-hadis yang telah disebutkan dalam Perkara ke-2 dalam tulisan ini.

وَصلَّى الله عَلى نَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلهِ وَصَحْبِهِ وَسَلَّم



Sumber : 

  1. Al-Hawi lil Fatawi oleh al-Imam Jalaluddin al-Suyuthi RA, jilid 1 m/s 75-76 cetakan Darul Kutub Ilmiyah tahun 1982
  2. Ustaz Nazrul Nasir
  3. Ustaz Idris Sulaiman

No comments:

Post a Comment